Percayalah ~ stp y b'laku ada hikmahnya....

Terleka dirinya sebentar apabila menatap gambarnya ketika masih berada  di bangku sekolah. Dilihatnya tulisan di belakang gambar kelasnya  tersebut.

Kadang kadang Allah sembunyikan matahari,
Dia datangkan petir dan kilat,
Kita menangis dan tertanya-tanya,
Ke mana hilangnya sinar,
Rupa-rupanya,
Allah nak hadiahkan kita pelangi.

* * * * *


"Zinnirah, cepat! Kelas dah nak mula ni," teriak sahabatnya, Sofea, sambil  berlari- lari anak untuk mendapatkan Iman yang masih sibuk menyiapkan  kerja sekolah di kantin tanpa menyedari waktu rehat sudah pun tamat.

"Hish, macam mana boleh lupa pula kerja sekolah matematik ni! Matilah aku kena leter dengan Cikgu Iman," getus hatinya. Setelah mengemas barang-barangnya, Zinnirah berlari-lari anak mendapatkan sahabatnya, Sofea dan terus menuju ke kelas.

"Bangun semua. Assalamualaikum Cikgu Iman," laung ketua kelas diikuti rakan-rakan seperjuangan.

"Waalaikumussalam. Jangan duduk lagi," permintaan Cikgu Iman membuatkan hati Zinnirah seakan-akan mahu gugur.

"Baiklah, cikgu nak kamu semua keluarkan homework yang cikgu bagi  semalam. Cikgu akan round," kali ini Iman merasakan jantungnya  sememangnya sudah jatuh dari tempat asalnya. Cikgu Iman sudah sampai ke  tempat duduk Zinnirah, dikerlingnya buku Zinnirah yang berada di hujung meja. Tiba- tiba sahaja Cikgu Iman berhenti betul- betul di sisinya.

"Zinnirah!" Cikgu Iman menyebut namanya.

"Ya cikgu," jawab Zinnirah. Kelihatan kawan- kawanya yang berada di dalam kelas  mengambil kesempatan untuk melihat drama pendek yang bakal dia tempuhi.

"Sampah dekat kaki tu kutip," terus Cikgu Iman berlalu kemeja yang lain.  Seakan tidak percaya kerana dirinya tidak menjadi sasaran. Dilihat buku  matematik yang berada di hujung mejanya.

"Patutlah, cikgu tak tengok bahagian belakang, Alhamdulillah," hatinya mengucap kesyukuran yang teramat sangat.

* * * * *

Waktu pembelajaran pada hari itu berjalan seperti biasa. Akhirnya waktu  yang ditunggu-tunggu telah tiba oleh para pelajar. Sesi pembelajaran  tamat.

"Tak lama lagi percubaan. Kau dah sedia ke Zinnirah?" soal Sofea kepada Zinnirah.

"Haa? Kau janganlah nak tanya aku pasal benda ni. Aku belajar macam mana  pun kau tetap atas aku," jelas Zinnirah.

Ada betulnya apa yang dikatakan  oleh Zinnirah. Sofea boleh dikatakan seorang yang suka tidur di dalam kelas. Kadang  kala kerja sekolahnya disiapkan lambat-lambat tetapi Sofea lebih cemerlang  darinya. Selalu juga difikirkan apa silapnya, mungkin banyak, namun dia  tidak boleh kalah.

Mungkin Allah mahu menjadikan dirinya seorang yang  lebih berusaha, hanya Allah yang tahu. Sebagai seorang hamba, dia hanya  mampu meminta yang terbaik.

Perbualan terhenti di situ, Sofea tidak mahu berkata apa-apa kerana takut  menyinggung perasaan sahabatnya itu.

* * * * *

Peperiksaan percubaan SPM telah pun berlalu, kini keputusannya  sudah diedarkan kepada murid-murid. Kelas 5 Kejuruteraan Awam juga merasa bahangnya.

Kelihatan Zinnirah sedang termenung sambil memikirkan keputusannya yang  tidak seberapa. Dikerlingnya kertas peperiksaan percubaan bagi mata  pelajaran Bahasa Inggeris sahabatnya, Sofea telah cukup membuatkan  hatinya menangis hiba. Dilihatnya pula kertas peperiksaan dirinya sendiri  memang jauh beza markahnya

"Kenapalah aku tak boleh jadi macam Sofea? Nak kata aku tak belajar aku belajar. Tapi kenapa susah nak dapat macam dia?" getus hati Zinnirah.

Tiba-tiba dia terfikir untuk melihat semua kertas yang telah diedarkan semua guru mata pelajaran. Zinnirah melihat semua kertas-kertas peperiksaan yang telah diberikan oleh semua  guru, dan dia tersenyum kerana buat pertama kalinya subjek Matematik telah  lulus walaupun markahnya hanya di atas pagar. Kini Zinnirah telah nekad  dalam dirinya, walau apa pun yang bakal terjadi dia akan berusaha dan tidak akan  putus untuk berdoa kepada yang Maha Mengetahui.

Kini SPM sedang berjalan seperti biasa. Debarannya tidak begitu kuat,  tetapi apabila mahu menyerahkan kertas jawapan pada pengawas yang bertugas  barulah dirinya seperti mahu mengambil balik kertas tersebut dan  memeriksanya semula. Hanya tawakal dan doa sahaja yang mampu dilakukan selepas menyerahkan kertas jawapan. Terdapat juga rakan seperjuangan yang dulu tidak pernah mahu belajar  dan datang ke sekolah hanya untuk melengkapkan rutin harian tetapi mula  berubah menjadi ulat buku, ada juga yang seperti tidak mahu berenggang  dengan buku tersebut apabila menghampiri ke hari peperiksaan.

* * * * *

"Abah, along takutlah," pendek kenyataan yang diberi Zinnirah kepada bapanya tetapi cukup mengambarkan perasaan berdebarnya untuk  mengambil keputusan SPM pada hari itu.

"Apa nak ditakutkan sekarang. Patutnya takut sewaktu nak ambil SPM dulu,"  kata bapa Zinnirah membuatkan dirinya lebih seperti cacing kepanasan.

Sampai di sekolah, keputusan peperiksaan telah pun diumumkan.  Lantas Zinnirah mendapatkan sahabatnya, Sofea. Mereka telah berjanji untuk berjumpa di sekolah kerana Sofea baru sahaja  balik dari Program Latihan Khidmat Negara.

"Assalamualaikum, Sofea macam mana keputusan engkau?" terus Zinnirah  menyoal keputusan yang sedang dipegang oleh Sofea kerana debarannyasemakin  dirasa.

"Waalakumussalam, Alhamdulillah. Aku berjaya dapat 4A. Kau pergilah  cepat ambil keputusan boleh kita lepak lama-lama lepas ni," terang Sofea  dalam keadaan gembira.

Zinnirah bergerak untuk mengambil keputusan. Setelah keputusan berada  di tangannya, dia merasa amat terkilan atas usaha dirinya selama ini.  Kenapa dirinya masih tidak boleh menandingi Sofea.

"Macam mana Zinnirah?" tanya Sofea.

"Bolehla, dapat 1A je," perlahan nada percakapan Zinnirah.

"Tak apalah. Zinnirah, matematik kau B lah!" suara Sofea memecah kesedihan Zinnirah.

"Yalah, Alhamdulillah!" pendek ulasan Zinnirah.

Pulang ke rumah, Zinnirah duduk termenung di beranda sambil  memikirkan nasibnya selepas ini. Walaupun dirinya layak untuk  menyambung pelajaran tetapi bukan dalam bidang kejuruteraan awam.  Kemungkinan besar dia akan menyambung pelajaran dalam bidang perakaunan.  Memang jauh dari cita-cita asalnya tetapi apa yang boleh dibuatnya.  Hanya itu yang layak bagi dirinya.

* * * * *

Selepas bertahun-tahun berlalu, akhirnya Zinnirah berjaya dalam bidang  perakaunan. Kini dirinya telah bergelar pendidik. Dulu dia sering jatuh  kini gilirannya pula untuk membantu sesiapa yang rasa kehilangan walhal  mereka masih belum temui sinar hikmah yang sebenar. Terlalu besar hikmahnya sehingga kita akan bersyukur dengan apa yang berlaku dahulu. Tiba-tiba lamunan Zinnirah terhenti apabila salah seorang muridnya datang untuk berjumpa denganya.

"Cikgu Zinnirah, ada apa nak jumpa saya?" tanya pelajar tersebut.

Lantas zinnirah menyimpan gambar tersebut dan memandang tepat ke wajah pelajarnya.

"Cikgu nak ucapkan tahniah kepada kamu," terang Zinnirah .

"Tapi saya punya matematik tak berapa ok?" soal pelajar itu kembali.

"Tapi kamu dah berjaya untuk meluluskan diri kamu. Percayalah kata  cikgu, teruskan usaha dan jangan sesekali mengeluh. Allah Maha Mengetahui  segalanya," tersenyum pelajar tersebut antara faham dan tidak faham.

Setelah selesai pelajar tersebut meninggalkan meja guru yang bernama Nur  Zinnirah dengan ucapan terima kasih kerana menyokong dirinya dan keluar  dari bilik guru dengan impian untuk berjaya. Dari jauh Zinnirah tersenyum dan berharap anak didiknya akan faham suatu hari nanti.

"Suatu hari kamu akan faham wahai anak didik ku."

p/s : sahabat, sudahlah... jgn pandang ke belakang lagi... mari kita belajar dari apa yang kita baca, lihat dan dengar. sesungguhnya itulah pelajaran dan pertolongan dari Allah.

Comments

Popular posts from this blog

HIKMAH SEHAT GERAKAN SHOLAT ~ tubuh sihat jiwa sihat

ketahui matlamat kita...

Titah Seri Paduka Baginda BERSEMUT